Soalan:
Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam usaha menggalakkan
anak-anak menceburi bidang sukan.
Oleh
: Noor Anis Amirah,Nurul Izwana,Wan Nursyahirah,dan Zarina.
Dasawarsa ini ,rakyat Malaysia terlalu leka dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia.Namun di sebalik itu,kita
acap kali tersentak oleh pelbagai permasalahan berkaitan dengan sukan.Isu ini
sering menghiasi dada-dada akhbar arus
perdana seperti Berita Harian dan Utusan
Malaysia.Sebagai contoh,kegagalan Malaysia menepati sasaran pingat dalam
Sukan Asia di Incheon Korea Selatan baru-baru ini.Hal ini demikian kerana atlet
kita tidak mampu bersaing dengan atlet negara lain yang lebih bersedia dari
segi mental dan fizikal.Jadi,semua pihak mestilah komited dan beriltizam untuk
mendepani isu ini kerana yang pipih tidak akan datang melayang,yang bulat tidak
akan datang bergolek. Menurut Menteri Belia dan Sukan, En.Khairy Jamaludin kejayaan
Negara China dalam pelbagai kejohanan sukan dunia adalah kerana latihan bermula
di rumah.Hal ini bermaksud ibu bapa memainkan peranan terawal dalam membentuk
atlet berkualiti. Oleh itu,pendekatan ini harus diperkenalkan di
Malaysia.Persoalannya,apakah peranan ibu bapa dalam usaha menggalakkan anak-anak
menceburi bidang sukan?
Pada hemat saya,peranan ibu bapa
yang paling efektif ialah menasihati dan memberi motivasi kepada anak-anak
supaya bergiat aktif dalam sukan sejak dari kecil lagi.Hal ini demikian kerana
ibu bapa ialah orang yang paling hampir dengan anak-anak.Oleh itu,minat dalam
kegiatan sukan boleh diterap sejak anak-anak di bangku sekolah lagi kerana
melentur buluh biarlah daripada rebungnya.Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mengasah dan menonjolkan bakat anak-anak yang terpendam dalam bidang sukan.Peranan
ibu bapa sebagai penasihat juga merangkumi aspek –aspek pemakanan,jadual
aktiviti sukan,masa rehat,tidur yang mencukupi,kekuatan spiritual,dan peneman
yang setia.Dalam hal ini ibu bapa Pandalela Rinong wajar dijadikan contoh dalam
usaha membentuk anak-anak menjadi atlet sukan terjun bertaraf olimpik.Ibu bapa
Pandalila Rinong sanggup menemaninya berlatih di tempat latihan yang
sesuai,sanggup mengharungi perjalanan
yang jauh ,mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan tidak mudah menyerah
kalah dalam kerenah birokrasi sukan di Malaysia.Tegasnya,ibu bapa menjadi
tulang belakang anak-anak dalam usaha menjadi ahli sukan yang hebat.
Selain itu,antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah
dengan membeli peralatan sukan untuk
anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan
sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai
contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat
yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti
raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak
dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka.
Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya
mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara. Ibu bapa yang menyediakan
peralatan sukan untuk anak-anak juga merupakan satu dorongan,perangsang,dan
sokongan untuk terus maju dalam bidang sukan.Pastinya anak-anak akan menghargai
pengorbanan ibu bapa dalam usaha menggalakkan anak-anak menceburi dalam bidang
sukan.Tuntasnya,menyediakan kemudahan peralatan sukan untuk anak-anak merupakan
langkah pertama dalam usaha melahirkan atlet berwibawa seperti yang telah
dilakukan oleh keluarga Datuk Sidek sehingga melahirkan jaguh badminton
tersohor,antaranya Misbun Sidek,Rashid Sidek dan Razif Sidek.
Lazimnya,dalam keadaan untuk menggalakkan anak-anak bergiat aktif dalam
bidang sukan,ibu bapa sewajarnya menyediakan sumber rujukan tentang sukan.Ibu
bapa boleh menyediakan bahan bacaan seperti majalah sukan ,video,ensiklopedia
sukan,dan bahan rujukan mengenai teori-teori sains sukan.Pengetahuan tentang
teori sukan juga amat penting dalam usaha menceburi bidang sukan secara
serius.Selain itu,ibu bapa mestilah berusaha
memberi dorongan kepada anak-anak agar memilih sekolah sukan apabila
menjejak kaki ke sekolah menengah.Antara sekolah sukan tersohor ialah Sekolah
Sukan Bukit Jalil dan,Sekolah Sukan Bandar Penawar.Hal ini demikian kerana
penguasaan dalam sukan bukanlah kekuatan fizikal semata-mata tetapi kekuatan
mental juga amat penting.Oleh itu ilmu pengetahuan tentang sukan mestilah
seiring dengan bakat yang ada dalam diri anak-anak.Sementara itu, ibu bapa juga
mestilah mempunyai ilmu tentang sukan kerana jurulatih tidak bertauliah terlalu
ramai yang memberi pelbagai teori melalui media sosial.
Di
samping itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar
anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan
cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang
sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan
anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau
permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam
kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu,
tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa
lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.Keluarga
Byran Lomas misalnya boleh dijadikan contoh tentang penglibatan ibu bapa dalam
menemani anak-anak ke tempat latihan.Ibu Byran Lomas biasanya akan menyediakan
pakaian di dalam kereta,menjemput Byran di sekolah untuk terus ke tempat
latihan terjun.Tegasnya ,kesungguhan ibu bapa dalam menyokong penglibatan
anak-anak dalam sukan pasti menjamin kejayaan yang cemerlang,atau melahirkan
atlet yang berpotensi untuk mewakili negara ke peringkat olimpik.
Namun
demikian,suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa
berperanan dalam menggalakkan anak-anak mereka bergiat aktif dalam bidang
sukan. Dalam hal ini ,ibu bapa yang berkemampuan boleh mengupah jurulatih untuk
meningkatkan prestasi sukan anak-anak.Hal ini dikatakan demikian kerana
pengambilan jurulatih berpengalaman berupaya menyuntik teknik baharu dalam
latihan.Hal ini kerana ,jurulatih berpengalaman mampu melihat kelemahan dan
mengatasinya dengan pantas kerana mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan
yang luas dalam bidang sukan tersebut.Ibu bapa yang tidak berkemampuan pula
boleh menghantar anak-anak mereka berlatih bawah pengurusan komuniti setempat
seperti Pusat Latihan Sukan Belia Daerah anjuran Kementerian Belia dan
Sukan.Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka ke latihan
berpusat untuk mengembangkan bakat dalam bola sepak seperti “program Soccer Kids”.Tuntasnya,ibu bapa mestilah peka
dan sanggup berkorban masa dan wang untuk mencari jurulatih atau pusat latihan
yang bersesuaian.
Kesimpulannya,
minat ibu bapa merupakan asas untuk
menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan secara serius .Ibu bapa juga
wajar sedar bahawa sukan juga merupakan suatu bidang pekerjaan yang menjanjikan
pendapatan lumayan.Datuk Lee Chong Wei contohnya memperoleh pendapatan lumayan dalam setiap kejohanan badminton yang
disertai. Mendidik dan membentuk anak-anak agar menceburi dalam dunia sukan
merupakan pelaburan jangka masa panjang,mungkin suatu hari nanti anak-anak
menjadi Tiger Wood ,Messi,Ronaldo,atau menjadi Rashid Sidek dalam sukan
badminton. Jika ibu bapa enggan melibatkan diri dalam membentuk anak-anak kea
rah kecemerlangan sukan,maka Negara kita akan terus tenggelam dalam arena sukan
antarabangsa.Anak-anak yang dibiarkan bersendirian dalam sukan akhirnya memilih
jalan pintas untuk memenangi sesuatu kejohanan seperti mengambil
steroid,rasuah,atau menjadi ahli sukan yang tidak berdisiplin.Jelasnya,titik
peluh ibu bapa haruslah dimulakan dari sekarang kerana perjalanan beribu batu
bermula dari langkah pertama,kata-kata keramat ini menjelaskan bahawa usaha ibu
bapa untuk menanam minat anak-anak dalam sukan bermula daripada buaian lagi.
No comments:
Post a Comment