Thursday 4 August 2011

Karangan Nurul Aqilah bt Abu Hassan

Bahagian A
Soalan :Punca-punca Penderaan Kanak-kanak(Nurul Aqilah bt Abu Hassan  4UPM2010)
                Banyak kes penderaan kanak-kanak terpampang di dada-dada akhbar arus perdana .Masalah ini amatlah membimbangkan  semua pihak kerana kanak-kanak merupakan aset negara ,pewaris kepimpinan pada masa depan.Sekiranya masalah ini dibiarkan berlanjutan maka akan mendatangkan impak  besar dalam institusi keluarga,masyarakat dan negara .
            Antara punca penderaan kanak-kanak ialah  kemiskinan  .Ibu bapa  tertekan dengan masalah kewangan dan  menganggap anak-anak mereka  merupakan satu beban yang terpaksa ditanggung.Justeru ibu bapa akan melepaskan perasaan mereka dengan mendera anak-anak dan keadaan menjadi lebih serius jika anak-anak meminta pelbagai kemudahan atau wang.Tuntasnya kemiskinan menyebabkan manusia berada dalam kekufuran dan bertindak seperti syaitan.
            Di samping itu,faktor kecacatan antara sebab berlakunya penderaan kanak-kanak.Ibu bapa  memperoleh anak yang cacat akan bersikap rendah diri dan malu.Ada juga ibu bapa  menganggap mempunyai anak yang cacat  sebagai  pembawa nasib malang dan anak-anak itu patut didera.Tegasnya kecacatan seseorang kanak-kanak membawa prasangka buruk ibu bapa dan masyarakat  lalu berlakulah penderaan yang seolah-olah diharuskan oleh adat kepercayaan.
            Selain itu,kajian menunjukkan bahawa dua puluh tiga peratus punca penderaan kanak-kanak adalah disebabkan penceraian.Pasangan yang bercerai akan mengalami tekanan perasaan,marah,berdendam dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.Kesannya mereka melepaskan perasaan dendam dan marah mereka kepada anak-anak yang tidak berdosa.Jelaslah faktor penceraian menyebabkan ibu atau bapa hilang kewarasan akal ,dan hilang sifat kemanusiaan.Benarlah seperti kata para ulamak “dalam masyarakat binatang tiada manusia,tetapi dalam masyarakat manusia ada binatang”
            Kesimpulannya,masalah penderaan kanak-kanak perlulah dibendung dengan segera,sebelum nasi menjadi bubur.Semua pihak perlu bekerjasama berganding bahu membanteras masalah penderaan kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan nadi  dan arkitek negara pada masa hadapan .Amalan seperti enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing mestilah dihindarkan agar kanak-kanak dapat membesar sebagai seorang insan yang sempurna dan tidak menjadi seorang pendera apabila mereka telah dewasa kelak.



Bahagian B
Soalan:  Konsep  1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri memberikan tumpuan untuk menyatupadukan pelbagai bangsa di negara ini.
Pada pendapat anda,apakah kesan-kesannya jika konsep ini diabaikan oleh anggota masyarakat? ( Nurul Aqilah bt Abu Hassan 4 UPM 2010)
            Konsep  1Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menekankan semangat kekitaan,kebersamaan antara etnik dan bangsa dalam negara Malaysia.”Kita perlulah berfikir dan bertindak sebagai rakyat Malaysia ,’one people’ “.Pernyataan tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri yang bermaksud sebagai rakyat Malaysia ,kita perlulah bersatu padu dalam apa jua keadaan dan tidak hanya menyokong bangsa sendiri dalam aspek fahaman politik dan lain-lain.Hal ini sejajar dan termaktub dalam Rukun Negara yang wajib kita patuhi.
            Terdapat pelbagai kesan yang akan berlaku jika konsep 1 Malaysia diabaikan oleh masyarakat.Antaranya persengketaan dan pertelingkahan antara  kaum akan berleluasa.Sebagai contohnya peristiwa hitam 13 Mei yang menggugat perpaduan antara kaum di Malaysia.Untuk melahirkan negara yang aman,makmur dan harmoni setiap anggota masyarakat  perlu disedarkan tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat.Pelbagai program perpaduan harus dijalankan oleh kerajaan bagi menyatupadukan rakyat.Masyarakat tidak seharusnya mementingkan diri seperti peribahasa bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing.Masyarakat juga perlu menjiwai ‘Nilai Ketiga’dalam konsep 1 Malaysia iaitu bersikap rendah hati untuk menjalin hubungan mesra dengan orang lain.
            Selain itu,’Nilai kelapan’ yang disebut dalam nilai 1 Malaysia iaitu integrasi menekankan semangat kebersamaan antara kaum adalah tunggak negara yang maju. Sekiranya nilai ini tidak dicapai ,maka kesannya akan porak perandalah negara Malaysia.Peperangan sesama rakyat akan tercetus dan masyarakat akan hidup dalam ketakutan.Sementara itu negara-negara kuasa besar akan mengambil kesempatan bagai menangguk di air keruh atas kelemahan semangat perpaduan rakyat.Kita sewajarnya mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat sebagai tanda penghargaan kepada nenek moyang kita yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta serta memerdekakan Malaysia daripada tangan penjajah.Jika rakyat berpecah belah serta struktur masyarakat yang goyah lagi rapuh maka pastinya Malaysia akan dijajah semula.
            Seterusnya slogan 1 Malaysia yang bermatlamatkan ‘Rakyat didahulukan ,Pencapaian diutamakan ‘ haruslah diberi penekanan.Pemimpin sesebuah kawasan perlulah sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik,dan bukan hanya memfokuskan kepada sesuatu kelompok atau kepada bangsa sendiri.Pemimpin yang tidak berlaku adil akan menyebabkan rakyat memberontak atau berlakunya pertelingkahan antara kaum .Masalah ketidakadilan dari aspek pembangunan ekonomi sesuatu kaum wajar ditangani segera sebelum nasi menjadi bubur.Oleh itu,’Nilai 6 ‘ mengamalkan prinsip meritokrasi dengan pertimbangan semua lapisan warga negara mendapat peluang yang sama untuk memajukan diri,keluarga ,masyarakat dan negara seharusnya diberi perhatian oleh para pemimpin.
            Sebelum menyentuh konklusi, fokus perbincangan kita tertumpu kepada Malaysia sebagai  sebuah negara demokratik iaitu rakyat bebas menyuarakan pendapat dan memilih pemimpin berdasarkan sistem pilihan raya.Justeru,sekiranya pemimpin  mewakili parti yang disokong gagal meraih undi,masyarakat tidak seharusnya memboikot atau mengadakan demontrasi jalanan seperti Kumpulan Baju Merah di Thailand .Kesan demontrasi jalanan sebenarnya akan melumpuhkan ekonomi negara,menyemai budaya militan dan timbulnya budaya membalas dendam yang tiada penghujungnya.Semangat kepartian,ketaksuban kepada sesuatu kaum atau semangat assabiah seperti yang diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliah akan merosakkan perpaduan kaum.Tegasnya ‘Nilai 4 ‘ iaitu mengubah sikap toleransi negatif  kepada sikap penerimaan yang positif akan memantapkan lagi amalan demokrasi di Malaysia.
            Kesimpulannya,konsep 1 Malaysia haruslah dipraktikkan dan disemai dalam  setiap jiwa rakyat Malaysia. Semangat kebersamaan dan kekitaan ‘esprit de corp’ antara kaum merupakan langkah yang bertepatan dalam usaha mencapai Wawasan 2020 iaitu membentuk negara yang  aman,makmur serta sejahtera.Pepatah Melayu ada menyebut ‘berat sama dipikul,ringan sama dijinjing’, hati kuman sama dicecah,hati gajah sama dilapah’.Masyarakat perlulah berganding bahu,bersatu padu dalam membangunkan negara Malaysia menjadi sebuah negara yang cemerlang,gemilang dan terbilang.Sesungguhnya benarlah kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung,bulat manusia kerana muafakat’.

No comments:

Post a Comment