Thursday 4 August 2011

Karangan Daniel A Ghafar(gaya penulisan yang seronok dibaca)

FAKTOR-FAKTOR RASUAH
Pernahkah anda mendengar mitos Melayu tentang Badang? Lelaki yang mahukan kuasa dan kekuataan sehingga sanggup menelan muntah hantu air. Begitu jijik dan kotor apabila didengar tetapi sedihnya itulah yang berlaku pada zaman ini. Biarpun mitos Badang sudah tidak relevan di dunia serba canggih ini, tetapi muntah hantu air tetap wujud dalam bentuk rasuah. R-a-s-u-a-h, rasuah. Perkataan yang mengerutkan dahi memikir cara penyelesaiannya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
            Sudah sinonim amalan rasuah dengan sesetengah masyarakat Malaysia. Puncanya? Wang. Duit umpama penawar segala masalah. Orang bersalah dilepaskan kerana wang. Imigren asing masuk ke negara kita melalui rasuah. Runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka akibat kerakusan rakyatnya menerima rasuah. Adakah kita mahu negara Malaysia tumbang menyembah bumi akibat rasuah? Tentunya tidak. Oleh itu, bertungkus-lumuslah membanteras rasuah dan faktor-faktornya.
            Sifat tamak dan pentingkan diri dalam lubuk hati sesetengah manusia merupakan faktor utama rasuah. Mereka sanggup melarikan diri daripada azab dunia berbanding dengan azab akhirat kelak. Begitu mudah kitaran kotor tersebut. Duit punca segalanya. Bagi pihak berkuasa, terdapat juga polis dan pegawai kerajaan yang makan suap. Tidak cukupkah rezeki halal? Sehingga sanggup mencari rezeki haram. Mungkin mereka tidak sedar atau tidak mengenal erti iman dan ehsan. Bentang iman mereka setebal kertas kajang. Sesungguhnya Islam melarang apa-apa bentuk rasuah dan penyelewengan oleh sebab implikasi negatifnya terhadap pembentukan negara.
            Faktor seterusnya ialah manusia mahukan pangkat dan darjat. Jika tidak boleh dengan kebolehan dan keyakinan diri maka mereka memilih rasuah. Amat mudah sekali. Hanya memerlukan wang, sifat hidung tinggi terhadap Tuhan dan muka tembok yang tebal. Dunia politik dan rasuah, malangnya sudah saling terikat. Betapa rakusnya sifat manusia untuk kuasa. Tidak mengenal erti malu. Jika sihat intelek dan jasmani, mengapa tidak emosi dan rohani? Tidak mampu mengawal nafsu dan tuntutan negatif merupakan salah satu faktor rasuah.
            Ketandusan sifat patriotik, nasionalisme dan cinta akan negara juga merupakan faktor rasuah. Bagi pihak kastam dan imigresen yang mengambil rasuah, adakah mereka sedar akan tindakan mereka? Dengan membiarkan pendatang asing ke negara kita, masalah jenayah akan meningkat. Menampakkan bahawa mereka tidak cinta akan tanah air. Sanggup membiarkan negara mereka sendiri dalam keadaan kucar-kacir angkara rasuah.
            Mungkin juga kerana faktor terdesak sehingga terpaksa menerima rasuah. Tetapi, ini tidak relevan sama sekali. Salah tetap salah walaupun dilapik-lapikkan. Walaupun situasi begitu gelap, tentu ada jalan yang lebih baik selain menerima rasuah kerana lama kelamaan gejala rasuah akan menjadi barah atau kanser dalam negara. Jika dibiarkan begitu saja, maka, lumpuh dan matilah negara. Manusia juga tidak mahu mengalah jika hendak meruntuhkan manusia lain. Sentiasa mahukan lebih dari si dia. Mereka adalah golongan yang tidak bersyukur.
            Secara konklusinya, jelaslah kita akan faktor-faktor rasuah. Masalah ini harus dibendung dengan segera. Jika tidak maruah negara kita akan tergadai. Tiada orang memandang kita. Malah dijadikan kita sebagai barang hinaan. Katakan tidak kepada rasuah. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Jauhi rasuah sejauh-jauhnya. Jika kita bertegas ingin mengamalkan rasuah, muntah hantu airlah jawapannya.

No comments:

Post a Comment