Monday 8 August 2011

Karangan Farah Izzati bt Ahmad Yani

Tajuk : Keburukan Merokok ( Farah Izzati bt Ahmad Yani 4 USM)

            Ke mana-mana sahaja kita pergi, pastinya kita dapat melihat asap rokok
berkepul-kepul di ruang udara. Ini merupakan (tidak boleh mula ayat dgn ini)satu pemandangan dan suasana yang tidak enak untuk kita. Namun bagi mereka yang sudah tegar, pandangan orang lain tidak lagi dipedulikan malah sedikit pun tidak menjadi bekas di hati. Bagi kaum Adam, mereka merasakan bahawa merokok adalah penanda aras untuk menunjukkan kematangan. Ada sebilangan kaum Hawa juga berani berjinak-jinak dengan najis ini. Mereka ingin menunjukkan kepada dunia, mereka juga boleh melakukan semua perkara yang lelaki mampu buat. Tidakkah mereka sedar akan keburukannya ?

            Merokok mendatangkan banyak kesan negatif pada diri. Antara kesan yang paling ketara dapat kita lihat ialah merokok menjejaskan kesihatan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, rokok merupakan penyebab utama penyakit-penyakit kronik yang telah meragut banyak nyawa di negara kita.
Penyakit-penyakit itu ialah kanser paru-paru, strok, gangren dan kanser mulut. Ramai rakyat Malaysia yang menderita akibat penyakit bronkitis dan katarak. Merokok juga menyebabkan kelahiran bayi pramatang dan kecacatan janin. Dapat disimpulkan bahawa rokok merupakan pembunuh dalam senyap.

            Apakah pandangan kita apabila terlihat orang yang merokok? Pastinya kita tidak senang melihat mereka dan berasa terganggu dengan bau rokok yang menusuk hidung. Ada juga sesetengah pihak yang menganggap dan melabel perokok sebagai `orang jahat’. Penampilan seorang perokok pula kelihatan selekeh dan tidak terurus. Masyarakat juga berasa kurang senang apabila mahu berurusan dengan seorang perokok disebabkan bau mulut mereka. Hakikatnya, merokok hanya akan merendahkan maruah diri di mata masyarakat sekeliling. Mereka akan menjauhi dan tidak bercampur degan golongan perokok. Pastinya mereka tidak mahu menjadi perokok pasif. Akibatnya, perokok akan tersisih daripadaa kelompok masyarakat.

            Selain itu, merokok mengganggu sistem dalam badan dan sistem pembiakan lalu menyebabkan ketidaksuburan. Rokok mengandungi hampir 1400 bahan beracun di dalamnya. Nikotin di dalam rokok akan menyebabkan pembuluh darah dan saluran pernafasan tersumbat. Tubuh perokok akan menjadi lesu dan mereka akan berasa cepat letih dan mengantuk apabila melakukan kerja. Perokok juga akan kehilangan deria sentuhan, pendengaran dan penglihatan. Tumbesaran tunas rasa juga akan terencat mengakibatkan perokok tidak dapat menikmati rasa makanan. Kehidupan yang dijalani dirasakan tidak sempurna.


            Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Negeri, merokok adalah haram di sisi Islam. Sebagai golongan belia yang akan menggantikan tunggak kepimpinan negara pada masa hadapan, kita perlu mengelak dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang hanya akan merosakkan peribadi diri dan masa depan. Jangan mudah terpengaruh dengan ajakan kawan dan tolaklah ajakan tersebut dengan baik. Rokok bukanlah bukti kematangan diri seperti yang difikirkan oleh segelintir pihak. Sebagai seorang remaja, kita harus sedar, rokok hanya mendatangkan keburukan dan akan merosakkan diri. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.



-Farah Izzati-

No comments:

Post a Comment