Sunday 14 September 2014

Karangan Percubaan SPM 2014

Faedah Kitar Semula ( 5 Akaun 1 dan 5 Akaun 2 )
Karangan cemerlang,tahniah!!!!!!!
            Kitar semula didefinisikan sebagai proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan baharu. Di Malaysia program kitar semula telah bermula dengan Kempen Kitar Semula 1993.Walau bagaimanapun menurut Persatuan Pengguna  Pulau Pinang kempen kitar semula hanya mendapat sokongan lima peratus penduduk Malaysia.Oleh itu,masyarakat wajar didedahkan bahawa kitar semula banyak manfaatnya.

            Pada pendapat saya, antara faedah kitar semula ialah mengekalkan keseimbangan ekosistem.Hal ini dikatakan demikian kerana program kitar semula mengurangkan aktiviti pembalakan dan perlombongan.Sebagai akibatnya,interaksi setempat seperti rantaian  makanan yang melibatkan haiwan dan tumbuhan dalam ekosistem tidak diganggu.Jika berlaku gangguan ekosistem haiwan akan kehilangan habitatnya.Haiwan yang kehilangan habitat seperti monyet  akhirnya mengganggu kawasan tempat tinggal manusia.Berdasarkan hujah yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh  bahawa amalan kitar semula mampu menyelamatkan ekosistem sungai,hutan,paya bakau dan seterusnya mengekal keindahan semula jadi sesuatu kawasan.
            Selain itu,faedah kitar semula adalah dapat menjamin kebersihan yang berkekalan. Hal ini bermaksud sampah sarap dibuang mengikut pengelasan sampah sama di dalam tong coklat, tong oren,dan tong biru.Bahan buangan seperti kertas,tin,botol kaca,dan logam diambil oleh pengusaha pusat kitar semula atau pencari bahan kitar semula ,secara tidak langsung dapat menjamin kebersihan di kawasan berkenaan .Sementara itu, sampah sarap tidak dibuang sewenang-wenangnya kerana melalui kitar semula sampah ‘menjadi’ wang dan berpeluang memperoleh pendapatan sampingan  .Tuntasnya, kitar semula seumpama serampang dua mata,kawasan persekitaran bersih,pendapatan isi rumah pula bertambah.
            Faedah kitar semula yang berikutnya ialah mengelakkan kepupusan sumber.Dalam konteks ini,kitar semula kertas misalnya membolehkan negara menjimatkan 78,000 batang pokok sehari.Mengitar semula sebotol kaca pula menjimatkan sumber elektrik  selama empat jam ,dan kitar semula pelbagai jenis botol kaca menjimatkan proses pengeluaran pasir silika iaitu aktiviti perlombangan dapat dikurangkan. Sumber air bersih juga dapat diselamatkan kerana aktiviti kitar semula mengurangkan pembuangan sampah sarap ke dalam sungai atau sumber air. Tegasnya sumber amat terhad dan kehendak manusia tidak terbatas dapat diseimbangkan dengan amalan kitar semula.
            Sebelum menyentuh konklusi fokus perbincangan kita tertumpu kepada kitar semula mengurangkan pencemaran alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana proses kitar semula mengurangkan pembukaan tapak pelupusan sampah yang baharu.Sebagai buktinya penduduk Bandaraya Kuala Lumpur membuang sampah sebanyak 30,000 tan sehari. Memandangkan empat puluh peratus sampah berkenaan boleh dikitar semula maka kadar pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan. Tanpa kitar semula Pihak berkuasa Tempatan terpaksa membuka tapak pelupusan sampah yang baharu dan mengakibatkan wujud lagi satu kawasan pencemaran. Jelasnya, masalah pencemaran alam sekitar mampu diatasi dengan melibatkan seluruh masyarakat dalam program kitar semula.

            Kesimpulannya,kitar semula mestilah diteruskan dengan pelbagai pendekatan dan kempen. Kempen Hari Sabtu Tanpa Beg Plastik 2010 dan Hari Kitar Semula 11 November setiap tahun diharapkan mendapat sokongan masyarakat. Masyarakat wajar didedahkan bahawa kitar semula telah bermula pada tahun 1813 kerana dunia telah kehabisan sumber bahan mentah,apatah lagi pada tahun 2014.Tanpa kitar semula Bandaraya Kuala Lumpur akan tenggelam di dalam sampah sarap dalam masa sehari. Oleh itu,Kempen  Fikir  Dahulu Sebelum Buang mestilah diamalkan agar kebersihan alam terus terpelihara.

2 comments: