Saturday 21 September 2013

Karangan Bebudak Galus PT3



Soalan: Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam menangani masalah obesiti dalam kalangan anak-anak.( karangan respons terbuka PT3 ,lebih daripada 180 patah perkataan)


            Sejak akhir-akhir ini ,isu obesiti  hangat diperkatakan di media massa.Hal ini amat membimbangkan semua pihak terutamanya ibu bapa .Persoalannya ,apakah peranan ibu bapa dalam menangani masalah obesiti dalam kalangan anak –anak?
            Pada pendapat saya,salah satu peranannya ialah ibu bapa mestilah menyediakan makanan seimbang mengikut piramid makanan.Ibu bapa mestilah mengutamakan menu sayur-sayuran dan buah-buahan seperti betik,jambu,dan pisang.Buah-buahan dan sayur-sayuran penting sebagai pelawas dalam sistem pencernaan.Tegasnya,makanan seimbang penting untuk mengawal obesiti,

            Selain itu, mengawal tabiat pemakanan anak-anak . Ibu bapa seharusnya melarang anak-anak daripada mengambil makanan ringan seperti mi segera  atau burger kerana makanan ringan menjadi penyebab utama masalah obesiti.Makanan ringan juga mengandungi lemak,pewarna,perisa tiruan,dan daging berkualiti rendah yang mempecepatkan proses obesiti.Tuntasnya,perut kita merupakan punca segala penyakit.

            Di samping itu, mengamalkan gaya hidup sihat.Ibu bapa menetapkan masa makan yang sesuai, dan melarang tabiat merokok.Gaya hidup sihat juga merangkumi masa tidur yang bersesuaian dengan anak-anak.Terlalu banyak tidur pastinya menjadi penyebab obesiti.Tegasnya,gaya hidup sihat mestilah diamalkan dalam keluarga jika ingin mengatasi masalah kegemukan.

            Akhir sekali, ibu bapa mestilah bersenam bersama-sama anak-anak.Bersenam secara konsisten 30 minit sehari mampu mengatasi masalah obesiti.Antara aktiviti bersenam yang sesuai ialah berbasikal,berjalan cepat,dan senaman mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, iaitu berenang,memanah serta menunggang kuda.Tuntasnya,aktiviti bersenam bersama-sama anak-anak mewujudkan ikatan mesra kekeluargaan dan dapat pula mengatasi masalah obesiti.

            Kesimpulannya, ibu bapa mestilah menangani masalah obesiti dengan segera kerana obesiti menyebabkan pelbagai penyakit kronik, seperti penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis,darah tinggi dan sakit jantung.Obesiti bukan tanda seseorang anak itu comel tetapi merupakan satu penyakit. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
                                                                                                                   

: Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam memupuk tabiat menabung dalam kalangan anak-anak.( 180 ke atas)

            Sediakan payung sebelum hujan ,sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit merupakan peribahasa yang berkaitan dengan amalan menabung.Peribahasa yang lahir daripada kehidupan nenek moyang kita ini menjelaskan bahawa tabiat berjimat cermat amat besar manfaatnya. Persoalannya ,apakah peranan ibu bapa dalam memupuk amalan menabung  dalam kalangan anak –anak?

            Pada pendapat saya,salah satu peranannya ialah ibu bapa mestilah menyediakan tabung yang menarik . Tabung seperti “Sponge Bob” menyebabkan anak-anak teruja untuk menabung.Tabung buatan sendiri daripada buluh pula lebih bermakna kerana aspek berjimat cermat betul-betul diamalkan.Hal ini demikian kerana membuat tabung buluh tidak memerlukan kos.Jelasnya,tabung yang disediakan membentuk keazaman dan keseronokan untuk menyimpang wang.

            Selain itu, ibu bapa mestilah membuka akaun di bank. Ibu bapa akan menerangkan jumlah tabungan semasa agar aktiviti  menabung menjadi minat utama anak-anak.Ibu bapa mestilah membawa anak-anak ke bank untuk melihat proses menyimpan wang agar mereka lebih bersemangat dan faham akan kepentingan menabung secara selamat.Tuntasnya,amalan menabung di bank akan menimbulkan minat dan rasa selamat dalam kalangan anak-anak.

            Di samping itu, memberikan ganjaran kepada anak-anak apabila tabung mereka sudah penuh atau tabungan di bank mencapai sasaran tertentu. Sebagai contoh gantikan tabung yang lebih cantik atau masukkan wang ke dalam akaun mereka  dan pamerkan pertambahan tabungan mereka sebagai motivasi.

            Akhir sekali, ibu bapa memupuk sikap berjimat dengan cara menyuruh anak-anak membawa bekal makanan ke sekolah.Wang saku boleh disimpan di dalam tabung walaupun jumlahnya kecil.Membawa bekalan makanan sememangnya amat menjimatkan memandangkan harga makanan di kantin telah mencecah RM5.00 untuk makan tengah hari atau semasa rehat.

            Kesimpulannya, ibu bapa mestilah memupuk tabiat menabung dalam kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi bertepatan dengan kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya agar mereka menjadi orang yang berhemat ,dan berjimat .Sikap berjimat cermat yang disemai sejak kecil akan membentuk satu cara hidup bersederhana dan tidak memboros,sesungguhnya sikap boros itu amalan syaitan.
                                                                                                             

No comments:

Post a Comment