Monday 24 October 2011

Karangan Respons Terhad Oleh Sayed Etoo

Langkah-langkah untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia.( Sayed Et’oo)

            Dewasa ini ,Malaysia sering dikaitkan dengan masalah perpaduan kaum seperti peristiwa  Kampung Medan dan peristiwa di sebuah kampung di Pulau Pinang.Mengapa ada segelintir masyarakat yang mahu mencetuskan suasana 13 Mei 1969? Dalam Al-Quran telah menyatakan Allah berfirman “Aku ciptakan kamu berpuak-puak.” Tujuannya supaya kita saling mengenal dan berbaik-baik sesama  manusia.Sebenarnya terdapat pelbagai langkah untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.


            Antara langkah untuk mengeratkan silaturahim antara kaum di Malaysia iaitu sering mengadakan aktiviti kemasyarakatan .Misalnya setiap kawasan perumahan tidak kira desa atau kota mestilah membuat aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan.Semasa gotong-royong kita dapat melihat semua kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing,secara automatik perpaduan antara kaum menjadi lebih utuh.

            Selain itu, semangat perpaduan  mestilah dimulakan sejak daripada bangku sekolah rendah lagi,bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.Sebagai contoh kita mestilah menghantar anak-anak kita bersekolah di sekolah kebangsaan kerana kurikulum yang digubal sejak Penyata Razak sudah memasukkan elemen-elemen perpaduan kaum.Manakala sekolah vernakular yang berpaksikan kaum hanya membentuk manusia rasis seperti seorang pelajar yang menghina lagu Negaraku baru-baru ini, manusia yang menjadi duri dalam daging,gunting dalam lipatan,sentiasa mengeruhkan suasana perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.Tegasnya,didikan awal tentang amalan perpaduan di sekolah melahirkan masyarakat yang sudah terdedah dengan hidup dalam kalangan masyarakat majmuk,bak kata pepatah alah biasa  tegal biasa.
            Di samping itu,amalan mengambil berat  sesama jiran tetangga perlulah diaplikasikan dalam diri dan masyarakat. Amalan kunjung-mengunjung juga merupakan satu komponen yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan .Janganlah ketika perayaan sahaja kita mengunjungi rumah yang bukan daripada kaum kita,tetapi ketika sakit juga perlu kita ziarahi agar persaudaraan kita dengan kaum lain akan menjadi seperti air dicencang tidak akan putus.Tuntasnya,amalan ziarah-menziarahi memupuk semangat ukhuwah yang mantap dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
            Akhir sekali sikap bertanggungjawab kepada masyarakat juga perlu untuk memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.Sebagai contoh,Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela mengadakan aktiviti berkawal pada waktu malam yang melibatkan semua penduduk di kawasan tersebut agar sama-sama menjaga keselamatan,benarlah kata pepatah berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Tegasnya sikap kekitaan ‘esprit de corp’ dalam kalangan masyarakat berbilang kaum akan mengukuhkan lagi perpaduan kaum.
            Kesimpulannya, perpaduan sememangnya amat diperlukan dalam kalangan masyarakat agar perbalahan yang sia-sia dapat dihentikan ,seterusnya keamanan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik,sosial malah  maju dalam tamadun pelbagai bangsa,sesuatu yang unik ,hanya wujud di Malaysia.

           

No comments:

Post a Comment