Friday 1 June 2012

Usaha-usaha memelihara Alam sekitar(Karangan Matang)


Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa



Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.Bait-bait awal dalam lagu tersebut  memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini. Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya. Oleh itu usaha-usaha untuk memelihara alam sekitar perlu diberi perhatian dan melibatkan oleh semua pihak.

Antara usaha yang praktikal ialah mengitar semula barang terpakai.40 peratus sampah sarap seperti tin,besi buruk ,botol,kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Dengan mengitar semula satu tin aluminium kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik tiga jam untuk televisyen .Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok . Dengan mengitar semula satu botol kaca kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu 100 watt selama empat jam.Tegasnya amalan kitar semula seumpama serampang dua mata,menyelamatkan alam sekitar dan dapat pula mengurangkan kos sumber tenaga serta menambah pendapatan keluarga.
Selain itu,elakkan pembakaran terbuka.Biasanya pembakaran terbuka ini dilakukan oleh petani  yang memugar hutan untuk tanaman padi bukit ,jagung dan getah. Ada juga petani yang membakar jerami padi selepas musim menuai.Sebagai akibatnya berlakulah pencemaran udara dan jerebu. Pembakaran terbuka mestilah dihalang melalui penguatkuasaan undang-undang memandangkan proses pembakaran akan meningkatkan karbon dioksida seterusnya akan menyebabkan kesan rumah hijau.Kesan rumah hijau pula akan menyebabkan pemanasan global.Tuntasnya jika pembakaran terbuka dapat dibendung maka alam sekitar pasti terpelihara.
Akhir sekali,semua pihak mestilah menyahut seruan kerajaan dalam program tanam semula pokok.Sebagai contoh,Kempen Tanam 26 Juta Pokok Menjelang 2015,Kempen Hari Bumi ,Kempen Tanam 50 Jenis Pokok Hutan UPM 2011 dan Kempen Tanam Pokok Bakau Melaka 2010. Pokok-pokok terutamanya bagi Hutan Hujan Topika amat penting untuk menyerap karbon dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan,kilang dan pembakaran terbuka.Pokok-pokok juga melepaskan gas oksigen untuk kehidupan makhluk di bumi,menghalang hakisan,zon penampan ribut atau tsunami dan memulihkan ekosistem bumi yang kian terganggu.Tegasnya program tanam semula pokok mestilah dilakukan dengan konsisten agar alam sekitar dapat diselamatkan daripada pemanasan global.Jangan terhantuk baru tengadah,cuaca panas di Cameron Higlands  wajar menjadi iktibar kepada semua pihak agar lebih serius dalam memelihara alam sekitar.
Kesimpulannya, memelihara alam sekitar menjadi tanggungjawab semua pihak bertepatan dengan pesanan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Tan Sri Joseph Kurup. Beliau berkata semua pihak tanpa mengira umur,sektor swasta atau kerajaan perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara , memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang lain.Sesungguhnya alam sekitar ini bukanlah milik kita,tetapi dipinjamkan oleh generasi yang akan datang.Oleh itu kita mestilah amanah dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

6 comments: